PROLOG
Assalamualaikum,
Buat adikku tersayang, Alya Yasmin,
Mungkin di waktu ini, kita telah terpisah jauh. Terlalu jauh.. Dan perpisahan ini adalah untuk selamanya. Terima kasih juga ingin along ucapkan atas kesudian Alya meluangkan sedikit masa untuk menatap luahan hati along ini. Terima kasih juga kerana sudi menyayangi dan menerima segala kekurangan diri ini. Terima kasih juga atas kasih sayang, pengorbanan dan kepercayaan yang di berikan.
Maafkan Along dik, kiranya permintaan Along ini buatkan adik berasa berat hati. Hanya padamu, dik, Along pertaruhkan segala kepercayaan yang tidak berbelah bagi. Along minta padamu dik, untuk menjaga permata hati Along yang satu ini. Along namakan dia Za’ara Aisha. Ya....... Za’ara Aisha binti Zariz Arman. Buah cinta along bersama Abang Zariz.
Sehingga saat ini, Along tidak mengerti mengapa Abang Zariz tinggalkan kami tanpa pesan. Malah sehingga ke hari ini, rasanya dia tidak mengetahui lahirnya Za’ara ke dunia ini. Along tidak sempat memberitahu dia tentang kehamilan Along itu. Hanya sekeping nota ringkas, dia memohon maaf kerana terpaksa meninggalkan Along. Luluh rasanya hati ini, dik. Sepatutnya di waktu itu, kami tengah meraikan berita gembira. Mungkin jugak dik, Along bukanlah insan bertuah untuk menikmati kemanisan itu.
Alya, Along mohon padamu untuk menjaga dan membesarkan Za’ara Aisha sekiranya Abang Zariz tetap tidak kembali. Sayangilah Za’ara sebagaimana Alya menyayangi Along. Curahkan sepenuh kasih sayang dan didiklah dia menjadi anak yang soleh. Padamu dik Along mengharapkan.
Satu lagi permintaan Along. Sekiranya Abang Zariz kembali, temukanlah dia dengan Za’ara Aisha. Sampaikan salam kemaafan Along buat dia. Serahkan kepadanya kotak kuning yang berada dalam almari Along. Ada sesuatu yang telah lama Along ingin serahkan kepadanya sejak dulu lagi. Tunaikan permintaan Along ini ye, dik....
Sampaikan salam kemaafan buat ayah dan ibu yang sudi menerima diri ini untuk menumpang secebis rasa kasih dan sayang. Terima kasih atas segala pengorbanan yang tercurah selama ini. Buat adik-adik, terima kasih kerana sudi menerima diri ini menjadi sebahagian keluarga bahagia ini. Sesungguhnya ini kebahagian yang tak ternilai untuk seorang anak yatim piatu bernama JUITA. Halalkan makan, minum. Maafkan segala kesalahan sengaja ataupun tidak. Terkasar bahasa, terguris hati dan tersinggung rasa.
Maafkan Along. Along pergi dahulu.
Juita
Helaian kertas itu ku tatap kembali. Terdapat amanat yang telah ditinggalkan untuk aku melaksanakan. Amanat untuk menjaga si kecil yang kini berusia sebulan. Aku merenung pilu pada seraut wajah bersih milik Za’ara Aisha buat sekian kalinya. Sayu hatiku mengenangkan. Dalam usia semuda itu, Za’ara Aisha kehilangan kasih sayang seorang ibu. Ayah???? Entahlah. Sehingga kini tidak aku ketahui ke mana menghilangnya Zariz Arman, suami kak long ku itu. Terlalu banyak persoalan berlegar di fikiran. Bukan hanya aku dan keluargaku, tetapi juga keluarga mentua kak longku itu. Mereka juga tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi dalam perkahwinan mereka.
“Tidak! Ibu tak setuju. Kenapa tak kita saja yang jaga Za’ara? Za’ara cucu kita bang. Kenapa arwah Juita tak serahkan Za’ara kat kita? Kenapa mesti dengan Alya?” bentak Puan Zana tidak puas hati. Dalam waktu kesedihan ini, sementelah kehilangan Zariz Arman tanpa pesan dan khabar berita disamping pemergian Juita, isteri anaknya itu, semuanya membuatkan dunianya seakan bercelaru. Ditambah lagi dengan permintaan dari arwah menantunya yang telah menyerahkan hak penjagaan Za’ara Aisha, satu-satunya zuriat arwah Juita dan Zariz Arman kepada aku, Alya Yasmin.
Encik Alimin hanya diam memandang perlakuan isterinya itu. Dia tahu kekecewaan di hati isterinya itu atas keputusan menantunya menyerahkan satu-satunya cucu mereka kepada aku sedangkan sebenarnya mereka lebih berhak. Aku sedar perkara itu. Tapi, bolehkah aku mengingkari apa yang telah diamanahkan?
Aku hanya memerhati. Tapi aku tahu, dari cara Puan Zana dapat disimpulkan betapa kasih dan sayangnya wanita itu kepada Za’ara Aisha. Tapi apa lagi yang boleh aku lakukan. Juita telah mewasiatkan sebegitu kepadakua. Aku tak terdaya menolaknya setelah kata janji dilafazkan.
“Ibu.... tak guna lagi kita nak gaduhkan perkara ini. Ini bukan perkara mudah. Wasiat orang yang telah tiada, takkan kita nak engkar. Tak terjawab kita nanti, jika dipersoalkan di sana kelak”, terdengar sayup suara Zarith Anisah, adik Zariz Arman.
Encik Alimin mengangguk setuju kata kata Zarith Anisah. Puan Zana terdiam. Hanya sedih mendengar kata-kata Zarith Anisah yang nyata tidak menyebelahinya. Aku membetulkan duduk lalu mendekati tubuh Puan Zana perlahan. Ku sentuh bahu wanita itu dengan perlahan.
“Mak Cik, Alya tahu mak cik rasa Alya bagaikan telah merampas hak mak cik sebagai seorang nenek yang baik, pengasih dan penyayang kepada Za’ara. Alya pun tak tahu kenapa Along pilih Alya untuk menjaga Za’ara. Tapi mak cik, Alya hanya ingin tunaikan amanat yang Along berikan ini. Dengan restu makcik sekeluarga. Alya janji, Alya takkan biarkan Za’ara tidak mengenali waris terdekatnya. Andai telah ditakdirkan abang Zariz tidak kembali, dia masih memerlukan pak ngah dan datuknya sebagai wali bila sampai masanya nanti. Alya tak ada hak lain selain hak untuk menunaikan amanat yang diberikan.” Terangku memohon pengertian. Ku tenung wajah Puan Zana dengan penuh harapan.
Wanita itu memandangku lama. Otaknya seakan ligat mentafsir segala apa yang diperkatakan. Namun, akhirnya perlahan saja, Puan Zana menganggukkan kepalanya mempersetujui. Aku terharu lantas tubuhku diraih ke dalam pelukannya. Erat. Air mata semakin lebat membasahi pipiku. Tak percaya dengan apa yang aku lihat ketika ini.
“Mak Cik, restuilah Alya. Izinkan Alya tunaikan amanat Along yang satu ini. Benarkan Alya berkongsi kasih dengan Makcik sekeluarga demi Za’ara Aisha.” Satu harapan terluah juga di kala Puan Zana mengucup pipi si kecil yang berusia satu bulan itu.
“Mak cik izinkan Alya untuk menjaga dan mendidik Za’ara” ucap Puan Zana lirih.
“Dah la tu Zana, abang yakin Alya mampu menjaga Za’ara. Alya, pakcik harap Alya akan mengasuh, menyayangi dan mendidik Za’ara dengan sebaiknya. Tentang perbelanjaan Za’ara, pak cik akan tanggung segalanya. Esok Alya berikan no akaun bank Alya kepada setiausaha pak cik. Pakcik akan masukkan setiap bulan perbelanjaan bulanan Za’ara. Kalau boleh, pakcik minta Alya bawa Za’ara ke rumah pakcik setiap 2 minggu sekali. Bolehkan Alya tunaikan permintaan pak cik ini?” Pinta Encik Alimin.
“INSYA-ALLAH, pakcik. Alya cuba. Terima kasih pakcik, makcik, Zarith”. Kataku sambil mengukir senyuman.
Terasa lega hatiku kini untuk menunaikan amanat Arwah kak Longku, Juita. Aku berjanji pada diriku sendiri untuk mengasuh dan mendidik Za’ara Aisha dengan sebaiknya sebagaimana harapan yang diletakkan oleh arwah kak long. Dan aku pastinya akan menyerahkan Za’ara Aisha semula pada Zariz Arman sekiranya lelaki itu kembali pada satu masa nanti. Masa itu, dia akan bertanyakan kenapa Zariz Arman meninggalkan Juita bagi meleraikan seribu satu persoalan yang masih menjadi tanda tanya.
“Pakcik, makcik, Za’ara akan mengenali kak long tetap sebagai ibunya, abang Zariz ayahnya dan Alya umminya. Pak cik, atuknya, mak cik, mama tok, Zairul Pak Ngahnya dan Zarith, masih mak sunya.” Kataku sambil merenung insan-insan dihadapannya.
“Za’ara, Ummi pinjam semangat Za’ara untuk kehidupan kita dimasa hadapan. Za’ara adalah cerminan Ummi, Ummi pulak cerminan Za’ara. Antara kita saling bergantungan antara satu sama lain. Andai satu hari nanti, ayah Za’ara kembali, Ummi terpaksa pulangkan Za’ara pada ayahmu, nak sebagaimana yang telah ibu Za’ara amanahkan kepada Ummi untuk ditunaikan.”
“Alya, mak cik dan pakcik masih ada disini” ucap Puan Zana. Aku memandang wanita berwajah keibuan itu. Senyuman ku ukirkan tanda ucapan terima kasih yang tak terhingga. Sekali lagi pipi sekecil Za’ara Aisha ku hujani ciuman bertalu.
Aku berjanji dan nekad untuk menunaikan amanat yang ditinggalkan ini. Aku akan membesarkan Za’ara dengan penuh kasih sayang. Aku akan sedaya upaya membahagiakan Za’ara. Dan aku yakin dengan adanya sokongan dari keluarga mertua kak long dan lebih-lebih lagi dari keluargaku sendiri. Aku perlu menguatkan hati dan semangat demi amanah yang dipikulnya kini.