Jumaat, 18 Mei 2012

Kau Satu-Satunya ~ 1


BAB 1
Sekumpulan kanak kanak kecil sedang bergelak ketawa sesama sendiri. Suasana menjadi semakin meriah sebaik sahaja Za’ara Aisha meniup ke lima-lima lilin yang menghiasi kek comel berbentuk garfield yang ditempah khas bagi meraikan ulang tahun ke limanya itu. Alya hanya memerhati dengan wajah ceria ditambah senyuman yang tak putus putus terukir di bibirnya demi melihatkan keriangan Za’ara Aisha.
Masa memang pantas meninggalkan kita. Za’ara Aisha semakin membesar. Iras wajahnya saling tak tumpah seperti Juita, ibu kandungnya. Cuma pipinya dihiasi sepasang lesung pipit yang nyata diwarisi dari ayah kandungnya, Zariz Arman.
Matanya beralih memandang ke arah Encik Alimin sekeluarga. Alya dapat merasakan betapa beruntungnya Za’ara Aisha dikelilingi oleh insan-insan yang teramat mengasihinya. Cuma sedikit kesalan timbul dihatinya kini. Zariz Arman masih lagi tidak dapat dikesan. Selama ini bukan tidak pernah, Za’ara Aisha bertanyakan perihal ayahnya. Tapi setiap kali, dia hanya mampu memberikan alasan yang ayahnya keluar bekerja. Tapi dia sedar, selama mana dia perlu membohongi Za’ara Aisha. Lambat laun dia perlu berterus terang atas segalanya.
“Ummi!” Alya menoleh. Za’ara Aisha ada disisinya kini. Za’ara Aisha mengamitkan tangannya tanda mengajak dia mengikuti langkahnya.
“Za’ara nak bawa Ummi ke mana ni?” Alya menyoal lembut. Namun, langkah kakinya masih setia menurut jejak langkah si kecil ini. Genggaman tangan Za’ara Aisha kukuh di pergelangan tangan.
“Ummi, duduk sini. Kita makan sama-sama la Ummi. Za’ara tahulah Ummi belum makan lagi.” Za’ara Aisha menarik tangan untuk duduk di sisinya. Perlakuan Za’ara Aisha itu diperhatikan oleh Encik Alimin sekeluarga.
“Mana Za’ara tahu Ummi Za’ara tak makan lagi?” Soal Zarith. Hajatnya hanya untuk mengusik si kecil yang keletah ini.
“Za’ara tahulah Ucu Zarith.Ummi tak makan lagi. Dari pagi tadi Ummi asyik sibuk aje. Za’ara tahu  Ummi penat kan?” katanya tulus. Alya hanya tersenyum mendengarkan kata-kata Za’ara Aisha. Memang diakui, Za’ara Aisha seorang kanak-kanak yang pintar dan cerdik. Siapa pun dengan mudah akan jatuh kasih dengan perlakuannya yang periang dan banyak mulut itu.
“Ok la, Ummi makan dengan Za’ara. Za’ara nak makan sendiri ke, atau nak Ummi suapkan?” tawar Alya.
“Kak Alya nak suapkan Za’ara? Tak payahlah kak. Za’ara tu dah besar. Biarlah dia makan sendiri. Bukannya dia tak reti makan sendiri”, celah Haiqal, adik bongsu Alya dengan nada mengusik. Semerta wajah Za’ara Aisha mencuka.
“Sibuk ajelah, Pak Cu Qal ni. Dengki.” Gumam Za’ara Aisha sendirian. Dia hanya tersenyum  melihatkan tingkah Za’ara Aisha diusik Haiqal.
 “Pak Cik, Mak Cik, Zairul dan Zarith, dah makan ke? Jangan lupa malam ni datang. Ada kenduri arwah malam ni.” Pelawa Alya Yasmin kepada Encik Alimin sekeluarga. Za’ara Aisha disebelahnya leka menikmati nasi ayam hainan yang disediakan khas untuk majlis sambutan hari lahirnya kali ini. Memang Nasi Ayam Hainan kegemaran Za’ara Aisha. Sama seperti arwah ibunya, Juita.
“Insya ALLAH, kalau tak ada aral, kami sekeluarga datang malam ni.”jawap Puan Zana perlahan.
Alya memakukan pandangannya tepat ke wajah Zarith Anisah. Pantas Zarith Anisah mengalihkan pandangannya ke taman mini di sudut kiri. Dia diterpa kehairanan dengan perlakuan Zarith Anisah itu yang sedari merenung dirinya tanpa kata. Lalu dia duduk di sebelah Zarith Anisah  yang kebetulan kosong.
“Zarith..... kenapa pandangan kak Alya macam tu sekali?” soalnya ingin tahu. Zarith Anisah kelihatan terkesima seketika dengan soalan yang diajukan itu.
            “Tak ada apa lah kak. Cuma ralit tengok akak layan Za’ara tu makan. Za’ara, kata ajak Ummi makan, tapi dia pulak yang sibuk suap mulut dia sendiri.” Kata Zarith Anisah menutup malu. Alya tersenyum mendengarkan kata-kata Zarith Anisah yang cuba memesongkan dia dari soalan yang Alya ajukan. Za’ara Aisha pula memuncungkan bibirnya tanda protes.
            “Sibuk je la, mak su Zarith ni.” Gumam Za’ara Aisha perlahan.
            “Kak Alya, boleh Zarith tanya sesuatu tak?” soal Zarith Anisah perlahan. Alya hanya menganggukkan kepalanya perlahan menantikan soalan.
            “Za’ara tak pernah tanya ke, tentang arwah kak Juita dan abang Zariz?” Alya tersenyum kala mendengarkan soalan Zarith Anisah.
            “Kakak selalu cerita dengan dia tentang arwah kak Ju dan juga abang Zariz pada dia. Mungkin sebab dari kecil, akak dah biasakan dia dengan gambar arwah kak Ju dan abang Zariz. Cuma dia masih terlalu kecil untuk memahami kehidupannya yang rumit. Bagi kak Alya, biarlah dulu. Sampai masanya nanti, dia akan faham dan moga-moga dia dapat menerima apa yang telah terjadi.” Zarith Anisah termenung mendengarkan kata-kata itu.
            “Kalau abang Long balik, macam mana kak?” soal Zarith Anisah lagi. Alya menghela nafas panjang. Dia sedar, satu masa nanti, waktu itu akan tiba juga. Zarith Anisah masih memakukan pandanganya pada Alya. Masih menanti jawapan dari Alya bagi persoalan yang telah sekian lama berlegar di fikirannya.
            “Zarith, akak menjaga, mengasuh dan mendidik Za’ara bukannya baru sehari dua. Tapi akak telah buat semua itu sejak Za’ara berumur sebulan. Dah lima tahun akak hidup bersama dia, tipulah kalau satu masa nanti abang Zariz balik dan ambil semula Za’ara, akak tak sedih. Tapi akak hanya pemegang amanah. Akak kena pulangkan semula amanah yang diberikan setelah abang Zariz balik. Janji akak pada arwah kak Ju kena akak tunaikan walaupun berat. Bukan mudah, Zarith. Za’ara membesar depan mata akak. Hanya pada masa tu, akak harap akak kuat untuk menghadapinya. Malah akak amat mengharapkan sokongan dari keluarga akak di waktu itu.”
            Alya sedar, berkata bukanlah semudah untuk melaksanakan. Bukan setakat hatinya akan terluka. Tetapi Za’ara Aisha juga. Takut menganggu jiwa dan juga emosinya. Labih –lebih lagi dia perlu menerima seorang yang asing sebagai ayahnya. Tapi, andai benar Zariz Arman kembali, Za’ara Aisha mesti dikembalikan kepadanya sebagaimana yang telah diwasiatkan oleh Juita.
            Zarith Anisah diam demi mendengarkan kata-kata Alya itu. Pandangannya ditumpahkan kepada Za’ara Aisha. Alya pula cuba menahan airmata. Za’ara Aisha menoleh memerhatikan. Pantas diseka air mata yang bertakung di birai mata. Secebis senyuman diukir demi menutup kesedihan itu.
            “Kenapa Ummi menangis?” soalnya ingin tahu. Benarlah, kanak-kanak cepat merasai dan menangkap perlakuan orang-orang tersayang dan rapat dengannya.
            “Ummi terbubuh cili ni banyak sangat. Pedas sangat, tu yang keluar air mata. Mana boleh Ummi menangis di hari lahir Za’ara, manja Ummi ni.....” jawabnya menutup persoalan Za’ara Aisha.
            “Ummi tunggu sini. Za’ara ambikkan Ummi air ye.” Za’ara Aisha berlalu. Zarith Anisah menghampiri Alya lantas mengenggam tangan erat. Cuba menyalurkan sedikit kekuatan kepada Alya. Sedikit sebanyak timbul rasa bersalah mengundang kesedihan di hati Alya dengan persoalan yang tidak sepatutnya.
            “Maafkan Zarith, kak.” Ucapnya perlahan sambil mencium tangan Alya perlahan.
            “Tak apa, Zarith. Akak faham.” Kata Alya perlahan sambil menepuk bahunya perlahan.
            “Bagi akak, apa yang Zarith tanyakan itu tiada salahnya. Malah akak sedar, akak perlu bersedia dari sekarang kerana akak dapat merasakan yang satu hari nanti, abang Zariz akan kembali. Masa tu, akan akak lepaskan tanggungjawab tersebut kepada dia setelah dia benar-benar bersedia menerima kenyataan sebenar.”
            Zarith Anisah hanya diam mendengarkan kata-kata Alya itu. Jauh disudut hatinya, terbit rasa kagum yang teramat pada Alya sehingga dia sanggup mengenepikan segala kepentingan dan keperluan diri demi Za’ara Aisha.
          Alya sibuk di dapur sewaktu keluarga Encik Alimin sampai. Sibuk menyiapkan hidangan buffet untuk kenduri tahlil yang akan bermula selepas solat Isyak nanti. Mujurlah ada perkhidmatan katering. Jadi segalanya menjadi mudah. Kadang – kadang dia rindukan suasana gotong royong yang suatu ketika dahulu tebal di kalangan penduduk setempat. Rindu dengan suasana yang kecoh dengan pelbagai ragam manusia. Tapi zaman sekarang, tiada lagi tenaga – tenaga muda bagi tujuan itu. Yang ada hanyalah warga-warga emas yang rata-ratanya tidaklah berapa sihat dan kuat kudratnya untuk menjayakan.
            Dia menjenguk sebentar di ruang depan. Khemah yang disewa bagi menampung kehadiran jemputan nampak telah hampir separuh dipenuhkan. Hatinya mengucapkan syukur memandangkan ramai jemputan yang datang untuk majlis tahlil malam ini.
            Za’ara Aisha nampak leka di atas ribaan Zairul Adli, adik Zariz. Alya sedar, Za’ara Aisha amat rapat dengan Zairul Adli dan Haiqal. Mungkin sebab dia tidak pernah merasai kasih sayang seorang ayah, maka kesediaan Zairul Adli dan Haiqal melayan kerenah Za’ara Aisha itu buatkan dia menjadi amat manja dengan keduanya.
            Zairul Adli, akauntan muda yang mungkin menjadi pujaan para gadis diluar sana. Usianya yang hanya beza 2 tahun lebih tua dari Alya. Memiliki wajah yang seiras dengan Zariz Arman ditambah perwatakannya yang agak serius dan pendiam sering membuatkan Alya sedikit segan dengannya. Namun, sikap Zairul Adli yang sering mengambil berat tentang Za’ara Aisha sedikit sebanyak membuatkan dia amat menghormati pemuda tersebut. Cuma kebelakangan ini, Zairul Adli sudah agak mesra dengan dia sekeluarga.
            Alunan ayat-ayat suci berkumandang menandakan majlis tahlil telah pun bermula. Alya duduk di sisi Puan Amnah menyertai majlis itu. Tak semena- mena  rasa sebak menerjah di hatinya. Apa yang dirasakan ketika ini, adalah perasaan rindu pada arwah kak Juita. Rindu yang teramat sangat. Rindu seorang adik kepada kakaknya. Alya sedar, walau telah 5 tahun berlalu, kasih dan sayang masih berbekas di hati. Arwah Juita bukan setakat kakak malah teman terapat baginya. Walaupun, arwah Juita bukanlah dilahirkan dari rahim ibu yang sama, tapi sejak kecil lagi dia telah mengenali arwah Juita sebagai kakak sulung.
            Menurut Puan Amnah, perkahwinan mereka yang menjangkau tahun kelima masih belum dikurniakan cahaya mata. Lalu mereka membuat keputusan untuk mengambil arwah Juita yang berusia 3 bulan sebagai anak angkat mereka setelah hati mereka tertawan dengan wajah polosnya. Menurut cerita, kedua – dua ibu bapanya telah meninggal dunia dalam satu kemalangan ngeri. Hanya arwah Juita sahaja yang terselamat dalam kemalangan itu. Tetapi sayangnya, arwah Juita tidak mempunyai waris lain memandangkan kedua ibu bapanya merupakan anak yatim piatu.
            Setelah memelihara Juita selama 5 tahun, barulah ibu disahkan mengandung. Lahirlah dirinya yang dinamakan sebagai Alya Yasmin. Sejak  kecil, arwah Juita telah menjadi kawan baik, kakak dan juga pelindung terbaik buat dirinya. Malah, dia sendiri amat menyayangi kak long. Walaupun, setelah ibu menceritakan perihal sebenar berkenaan Juita, dia tetap menyayangi dan menghoramti kakaknya itu. Malah,  mereka bagaikan pasangan kembar. Jika Juita deman, dia juga akan tetap terasa.
            “Kak Ngah!” seru satu suara. Alya tersedar dari lamunan. Ditoleh sekilas ibunya di sebelah yang masih memandangnya.
            “Ibu, angah rindu, bu. Rindu teramat dengan kak Ju....” bisiknya menahan tangis. Puan Amnah pantas meraih Alya ke dalam pelukannya. Hatinya turut hiba demi mendengarkan luahan itu dari Alya.
            Puan Amnah sedar dan dia sendiri tahu dan arif tentang akrabnya hubungan dua beradik ini. Malah dia turut menanggung kerinduan yang teramat pada anak sulungnya itu walaupun dia bukanlah ibu yang mengandungkan Juita. 
            “Kak Ngah, ibu pun rindu juga. Kak Ngah kena kuat sayang. Kalau kak ngah rindukan kak long, macammana pulak ibu, nak.” Pujuk Puan Amnah lembut. Alya membisu melayan tangis.
            “Dah la. Orang pun dah habis tahlil. Tengok Za’ara tu. Dah terlentok kat riba Zairul. Pergi ambil budak tu. Tidurkan dalam bilik. Penat sangat agaknya. Dari siang tadi sibuk.” Kata Puan Amnah.
Alya turut memandang ke arah Zairul Adli. Memang benar, Za’ara Aisha kelihatan nyenyak di pangkuan Zairul Adli. Dia menyeka air mata lantas bangun menghampiri Zairul Adli. Zairul Adli mendongak setelah menyedari kehadiran Alya di sisinya.
            “Maaf Zairul. Za’ara tertidur atas pangkuan awak. Marilah saya angkat dia masuk ke bilik.” Katanya perlahan. Zairul Adli masih memerhati tanpa sebarang reaksi. Alya merasa pelik dan tidak selesa dengan pandangan Zairul Adli itu.
            “Zairul....” panggil aku lagi.  Zairul Adli tersedar. Semerta bibirnya mengukir senyum.
            “Tak apalah. Letih sangat agaknya dia hari ini. Biar Rul angkatkan Za’ara ke dalam. Larat ke awak?” Alya jadi serba salah. Sebenarnya, dia rasa tidak selesa membenarkan Zairul Adli memasuki bilik tidur kerana Za’ara masih berkongsi bilik dengannya.
            “Tak apa la. Bukannya saya tak biasa.” Tolak Alya perlahan. Za’ara Aisha diangkat perlahan. Zairul Adli  hanya diam memerhatikan Alya yang mendukung Za’ara Aisha berlalu ke bilik tidur.
            Alya meletakkan Za’ara Aisha perlahan. Setelah memastikan dia selesa dengan keadaan itu, dia keluar bagi melayan tetamu yang sedang menjamu selera. Encik Alimin dan Puan Zana sedang menikmati hidangan yang disediakan. Secebis senyuman dilemparkan kepada mereka.
            “Zarith, Zairul, jamah lah hidangan tak seberapa ni. Jangan segan-segan,” katanya sambil menunjukkan hidangan yang tersedia.
         

Kau Satu-Satunya ~ Prolog


PROLOG
Assalamualaikum,
Buat adikku tersayang, Alya Yasmin,
Mungkin di waktu ini, kita telah terpisah jauh. Terlalu jauh...... Dan perpisahan ini adalah untuk selamanya. Terima kasih juga ingin along ucapkan atas kesudian Alya meluangkan sedikit masa untuk menatap luahan hati along ini. Terima kasih juga kerana sudi menyayangi dan menerima segala kekurangan diri ini. Terima kasih juga atas kasih sayang, pengorbanan dan kepercayaan yang di berikan.
Maafkan Along dik, kiranya permintaan Along ini buatkan adik berasa berat hati. Hanya padamu, dik, Along pertaruhkan segala kepercayaan yang tidak berbelah bagi. Along minta padamu dik, untuk menjaga permata hati Along yang satu ini. Along namakan dia Za’ara Aisha. Ya....... Za’ara Aisha binti Zariz Arman. Buah cinta along bersama Abang Zariz.
Sehingga saat ini, Along tidak mengerti mengapa Abang Zariz tinggalkan kami tanpa pesan. Malah sehingga ke hari ini, rasanya dia tidak mengetahui lahirnya Za’ara ke dunia ini. Along tidak sempat memberitahu dia tentang kehamilan Along itu. Hanya sekeping nota ringkas, dia memohon maaf kerana terpaksa meninggalkan Along. Luluh rasanya hati ini, dik. Sepatutnya di waktu itu, kami tengah meraikan berita gembira. Mungkin jugak dik, Along bukanlah insan bertuah untuk menikmati kemanisan itu.
Alya, Along mohon padamu untuk menjaga dan membesarkan Za’ara Aisha sekiranya Abang Zariz tetap tidak kembali. Sayangilah Za’ara sebagaimana Alya menyayangi Along. Curahkan sepenuh kasih sayang dan didiklah dia menjadi anak yang soleh. Padamu dik Along mengharapkan.
Satu lagi permintaan Along. Sekiranya Abang Zariz kembali, temukanlah dia dengan Za’ara Aisha. Sampaikan salam kemaafan Along buat dia. Serahkan kepadanya kotak kuning yang berada dalam almari Along. Ada sesuatu yang telah lama Along ingin serahkan kepadanya sejak dulu lagi. Tunaikan permintaan Along ini ye, dik....
Sampaikan salam kemaafan buat ayah dan ibu yang sudi menerima diri ini untuk menumpang secebis rasa kasih dan sayang. Terima kasih atas segala pengorbanan yang tercurah selama ini. Buat adik-adik, terima kasih kerana sudi menerima diri ini menjadi sebahagian keluarga bahagia ini. Sesungguhnya ini kebahagian yang tak ternilai untuk seorang anak yatim piatu bernama JUITA. Halalkan makan, minum. Maafkan segala kesalahan sengaja ataupun tidak. Terkasar bahasa, terguris hati dan tersinggung rasa.
Maafkan Along. Along pergi dahulu.
Juita
Helaian kertas itu ditatap kembali. Terdapat amanat yang telah ditinggalkan untuk dilaksanakan. Amanat untuk menjaga si kecil yang kini berusia sebulan. Alya merenung pilu pada seraut wajah bersih milik Za’ara Aisha buat sekian kalinya. Sayu hatinya mengenangkan, dalam usia semuda itu, Za’ara Aisha kehilangan kasih sayang seorang ibu. Ayah???? Entahlah..... Sehingga kini tidak diketahui, ke mana menghilangnya Zariz Arman, suami kak Juita itu. Terlalu banyak persoalan berlegar di fikiran. Bukan hanya dia dan keluarganya, tetapi juga keluarga mentua kak Juita. Mereka juga tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi dalam perkahwinan mereka.
         
“Tidak! Ibu tak setuju. Kenapa tak kita saja yang jaga Za’ara? Za’ara cucu kita bang. Kenapa arwah Juita tak serahkan Za’ara kat kita? Kenapa mesti dengan Alya?” bentak Puan Zana tidak puas hati. Dalam waktu kesedihan ini, sementelah kehilangan Zariz Arman tanpa pesan dan khabar berita disamping pemergian Juita, isteri anaknya itu, semuanya membuatkan dunianya seakan bercelaru. Ditambah lagi dengan permintaan dari arwah menantunya menyerahkan hak penjagaan Za’ara Aisha, satu-satunya zuriat arwah Juita dan Zariz Arman kepada Alya, adik Juita menantunya itu.
Encik Alimin hanya diam memandang perlakuan isterinya itu. Dia tahu kekecewaan di hati isterinya itu atas keputusan menantunya menyerahkan satu-satunya cucu mereka kepada Alya sedangkan sebenarnya mereka lebih berhak. Alya sedar perkara itu. Tapi, bolehkah dia mengingkari apa yang telah diamanahkan?
Alya hanya memerhati. Tapi dia tahu, dari cara Puan Zana dapat disimpulkan betapa kasih dan sayangnya wanita itu kepada Za’ara Aisha. Tapi, apa lagi yang boleh dia lakukan. Juita telah mewasiatkan sebegitu kepadanya. Malah dia tak terdaya menolaknya setelah kata janji dilafazkan.
“Ibu.... tak guna lagi kita nak gaduhkan perkara ini. Ini bukan perkara mudah. Wasiat orang yang telah tiada, takkan kita nak engkar. Tak terjawab kita nanti, jika dipersoalkan di sana kelak”, terdengar sayup suara Zarith Anisah, adik Zariz Arman mencelah perbualan.
Encik Alimin mengangguk setuju kata kata Zarith Anisah. Puan Zana terdiam. Hanya sedih mendengar kata-kata Zarith Anisah yang nyata tidak menyebelahinya. Alya  membetulkan duduk lalu mendekati tubuh Puan Zana perlahan. Disentuh bahu wanita itu dengan perlahan.
“Mak Cik, Alya tahu mak cik rasa Alya bagaikan telah merampas hak mak cik sebagai seorang nenek yang baik, pengasih dan penyayang kepada Za’ara. Alya pun tak tahu kenapa Along pilih Alya untuk menjaga Za’ara. Tapi mak cik, Alya hanya ingin tunaikan amanat yang Along berikan ini. Dengan restu makcik sekeluarga. Alya janji, Alya takkan biarkan Za’ara tidak mengenali waris terdekatnya. Andai telah ditakdirkan abang Zariz tidak kembali, dia masih memerlukan pak ngah dan datuknya sebagai wali bila sampai masanya nanti. Alya tak ada hak lain selain hak untuk menunaikan amanat yang diberikan.” Terang Alya perlahan memohon pengertian. Ditenung wajah Puan Zana dengan penuh harapan.
            Wanita itu memandangnya lama. Otaknya seakan ligat mentafsir segala apa yang diperkatakan. Namun, akhirnya perlahan saja, Puan Zana menganggukkan kepalanya mempersetujui. Alya terharu lantas tubuh Puan Zana diraih ke dalam pelukan. Erat. Air mata semakin lebat membasahi pipi. Tak percaya dengan apa yang terjadi ketika ini.
            “Mak Cik, restuilah Alya. Izinkan Alya tunaikan amanat Along yang satu ini. Benarkan Alya berkongsi kasih dengan Makcik sekeluarga demi Za’ara Aisha.” Satu harapan terluah juga di kala Puan Zana mengucup pipi si kecil yang berusia satu bulan itu.
            “Mak cik  izinkan Alya untuk menjaga dan mendidik Za’ara” ucap Puan Zana lirih.
“Dah la tu Zana, abang yakin Alya mampu menjaga Za’ara. Alya, pakcik harap Alya akan mengasuh, menyayangi dan mendidik Za’ara dengan sebaiknya. Tentang perbelanjaan Za’ara, pak cik akan tanggung segalanya. Esok Alya berikan no akaun bank Alya kepada setiausaha pak cik. Pakcik akan masukkan setiap bulan perbelanjaan bulanan Za’ara. Kalau boleh, pakcik minta Alya bawa Za’ara ke rumah pakcik setiap dua minggu sekali. Bolehkan Alya tunaikan permintaan pak cik ini?” Pinta Encik Alimin. 
“INSYA-ALLAH, pakcik. Alya cuba. Terima kasih pakcik, makcik, Zarith”. Kata Alya  sambil mengukir senyuman.
Terasa lega hatinya kini untuk menunaikan amanat arwah kak Juita. Dia berjanji pada untuk mengasuh dan mendidik Za’ara Aisha dengan sebaiknya sebagaimana harapan yang diletakkan oleh arwah kak Juita. Dan pastinya akan menyerahkan Za’ara Aisha semula pada Zariz Arman sekiranya lelaki itu kembali pada satu masa nanti. Masa itu, dia akan  bertanyakan kenapa Zariz Arman meninggalkan Juita bagi meleraikan seribu satu persoalan yang masih menjadi tanda tanya.
“Pakcik, makcik, Za’ara akan mengenali kak long tetap sebagai ibunya, abang Zariz ayahnya dan Alya umminya. Pak cik, atuknya, mak cik, mama tok, Zairul Pak Ngahnya dan Zarith, masih mak sunya.” Kata Alya sambil merenung insan-insan dihadapannya.
“Za’ara, Ummi pinjam semangat Za’ara untuk kehidupan kita dimasa hadapan. Za’ara adalah cerminan Ummi, Ummi pulak cerminan Za’ara. Antara kita saling bergantungan antara satu sama lain. Andai satu hari nanti, ayah Za’ara kembali, Ummi terpaksa pulangkan Za’ara pada ayahmu, nak sebagaimana yang telah ibu Za’ara amanahkan kepada Ummi untuk ditunaikan.”
 “Alya, mak cik dan pakcik masih ada disini” ucap Puan Zana. Alya memandang wanita berwajah keibuan itu. Senyuman diukirkan tanda ucapan terima kasih yang tak terhingga. Sekali lagi pipi sekecil Za’ara Aisha dihujani ciuman bertalu.
Alya berjanji dan nekad untuk menunaikan amanat yang telah ditinggalkan ini. Akan membesarkan Za’ara dengan penuh kasih sayang. Akan sedaya upaya membahagiakan Za’ara. Dan dia yakin dengan adanya sokongan dari keluarga mertua kak Juita dan lebih-lebih lagi dari keluarganya sendiri. Dia perlu menguatkan hati dan semangat demi amanah yang dipikulnya kini. Dia sedar, masa depannya kini telah berubah haluan dari apa yang telah dirancangkan selama ini. Namun dia rela demi kerana amanah yang ditinggalkan. Kerana Za’ara Aisha. Biarpun susah, biapun payah, tapi inilah keutamaan dirinya sekarang.