BAB 1
Sekumpulan kanak kanak kecil sedang bergelak ketawa
sesama sendiri. Suasana menjadi semakin meriah sebaik sahaja Za’ara Aisha
meniup ke lima-lima lilin yang menghiasi kek comel berbentuk garfield yang
ditempah khas bagi meraikan ulang tahun ke limanya itu. Alya hanya memerhati
dengan wajah ceria ditambah senyuman yang tak putus putus terukir di bibirnya
demi melihatkan keriangan Za’ara Aisha.
Masa memang pantas meninggalkan kita. Za’ara Aisha
semakin membesar. Iras wajahnya saling tak tumpah seperti Juita, ibu
kandungnya. Cuma pipinya dihiasi sepasang lesung pipit yang nyata diwarisi dari
ayah kandungnya, Zariz Arman.
Matanya beralih memandang ke arah Encik Alimin
sekeluarga. Alya dapat merasakan betapa beruntungnya Za’ara Aisha dikelilingi
oleh insan-insan yang teramat mengasihinya. Cuma sedikit kesalan timbul dihatinya
kini. Zariz Arman masih lagi tidak dapat dikesan. Selama ini bukan tidak
pernah, Za’ara Aisha bertanyakan perihal ayahnya. Tapi setiap kali, dia hanya
mampu memberikan alasan yang ayahnya keluar bekerja. Tapi dia sedar, selama
mana dia perlu membohongi Za’ara Aisha. Lambat laun dia perlu berterus terang
atas segalanya.
“Ummi!” Alya menoleh. Za’ara Aisha ada disisinya kini.
Za’ara Aisha mengamitkan tangannya tanda mengajak dia mengikuti langkahnya.
“Za’ara nak bawa Ummi ke mana ni?” Alya menyoal lembut.
Namun, langkah kakinya masih setia menurut jejak langkah si kecil ini.
Genggaman tangan Za’ara Aisha kukuh di pergelangan tangan.
“Ummi, duduk sini. Kita makan sama-sama la Ummi. Za’ara
tahulah Ummi belum makan lagi.” Za’ara Aisha menarik tangan untuk duduk di
sisinya. Perlakuan Za’ara Aisha itu diperhatikan oleh Encik Alimin sekeluarga.
“Mana Za’ara tahu Ummi Za’ara tak makan lagi?” Soal
Zarith. Hajatnya hanya untuk mengusik si kecil yang keletah ini.
“Za’ara tahulah Ucu Zarith.Ummi tak makan lagi. Dari pagi
tadi Ummi asyik sibuk aje. Za’ara tahu
Ummi penat kan?” katanya tulus. Alya hanya tersenyum mendengarkan
kata-kata Za’ara Aisha. Memang diakui, Za’ara Aisha seorang kanak-kanak yang
pintar dan cerdik. Siapa pun dengan mudah akan jatuh kasih dengan perlakuannya
yang periang dan banyak mulut itu.
“Ok la, Ummi makan dengan Za’ara. Za’ara nak makan
sendiri ke, atau nak Ummi suapkan?” tawar Alya.
“Kak Alya nak suapkan Za’ara? Tak payahlah kak. Za’ara tu
dah besar. Biarlah dia makan sendiri. Bukannya dia tak reti makan sendiri”,
celah Haiqal, adik bongsu Alya dengan nada mengusik. Semerta wajah Za’ara Aisha
mencuka.
“Sibuk ajelah, Pak Cu Qal ni. Dengki.” Gumam Za’ara Aisha
sendirian. Dia hanya tersenyum melihatkan
tingkah Za’ara Aisha diusik Haiqal.
“Pak Cik, Mak Cik,
Zairul dan Zarith, dah makan ke? Jangan lupa malam ni datang. Ada kenduri arwah
malam ni.” Pelawa Alya Yasmin kepada Encik Alimin sekeluarga. Za’ara Aisha
disebelahnya leka menikmati nasi ayam hainan yang disediakan khas untuk majlis
sambutan hari lahirnya kali ini. Memang Nasi Ayam Hainan kegemaran Za’ara
Aisha. Sama seperti arwah ibunya, Juita.
“Insya ALLAH, kalau tak ada aral, kami sekeluarga datang
malam ni.”jawap Puan Zana perlahan.
Alya memakukan pandangannya tepat ke wajah Zarith Anisah.
Pantas Zarith Anisah mengalihkan pandangannya ke taman mini di sudut kiri. Dia diterpa
kehairanan dengan perlakuan Zarith Anisah itu yang sedari merenung dirinya
tanpa kata. Lalu dia duduk di sebelah Zarith Anisah yang kebetulan kosong.
“Zarith..... kenapa pandangan kak Alya macam tu sekali?”
soalnya ingin tahu. Zarith Anisah kelihatan terkesima seketika dengan soalan yang
diajukan itu.
“Tak ada
apa lah kak. Cuma ralit tengok akak layan Za’ara tu makan. Za’ara, kata ajak
Ummi makan, tapi dia pulak yang sibuk suap mulut dia sendiri.” Kata Zarith
Anisah menutup malu. Alya tersenyum mendengarkan kata-kata Zarith Anisah yang
cuba memesongkan dia dari soalan yang Alya ajukan. Za’ara Aisha pula
memuncungkan bibirnya tanda protes.
“Sibuk
je la, mak su Zarith ni.” Gumam Za’ara Aisha perlahan.
“Kak
Alya, boleh Zarith tanya sesuatu tak?” soal Zarith Anisah perlahan. Alya hanya
menganggukkan kepalanya perlahan menantikan soalan.
“Za’ara
tak pernah tanya ke, tentang arwah kak Juita dan abang Zariz?” Alya tersenyum
kala mendengarkan soalan Zarith Anisah.
“Kakak
selalu cerita dengan dia tentang arwah kak Ju dan juga abang Zariz pada dia.
Mungkin sebab dari kecil, akak dah biasakan dia dengan gambar arwah kak Ju dan
abang Zariz. Cuma dia masih terlalu kecil untuk memahami kehidupannya yang
rumit. Bagi kak Alya, biarlah dulu. Sampai masanya nanti, dia akan faham dan
moga-moga dia dapat menerima apa yang telah terjadi.” Zarith Anisah termenung
mendengarkan kata-kata itu.
“Kalau
abang Long balik, macam mana kak?” soal Zarith Anisah lagi. Alya menghela nafas
panjang. Dia sedar, satu masa nanti, waktu itu akan tiba juga. Zarith Anisah
masih memakukan pandanganya pada Alya. Masih menanti jawapan dari Alya bagi
persoalan yang telah sekian lama berlegar di fikirannya.
“Zarith,
akak menjaga, mengasuh dan mendidik Za’ara bukannya baru sehari dua. Tapi akak
telah buat semua itu sejak Za’ara berumur sebulan. Dah lima tahun akak hidup
bersama dia, tipulah kalau satu masa nanti abang Zariz balik dan ambil semula
Za’ara, akak tak sedih. Tapi akak hanya pemegang amanah. Akak kena pulangkan
semula amanah yang diberikan setelah abang Zariz balik. Janji akak pada arwah
kak Ju kena akak tunaikan walaupun berat. Bukan mudah, Zarith. Za’ara membesar
depan mata akak. Hanya pada masa tu, akak harap akak kuat untuk menghadapinya.
Malah akak amat mengharapkan sokongan dari keluarga akak di waktu itu.”
Alya sedar,
berkata bukanlah semudah untuk melaksanakan. Bukan setakat hatinya akan
terluka. Tetapi Za’ara Aisha juga. Takut menganggu jiwa dan juga emosinya. Labih
–lebih lagi dia perlu menerima seorang yang asing sebagai ayahnya. Tapi, andai
benar Zariz Arman kembali, Za’ara Aisha mesti dikembalikan kepadanya
sebagaimana yang telah diwasiatkan oleh Juita.
Zarith
Anisah diam demi mendengarkan kata-kata Alya itu. Pandangannya ditumpahkan
kepada Za’ara Aisha. Alya pula cuba menahan airmata. Za’ara Aisha menoleh
memerhatikan. Pantas diseka air mata yang bertakung di birai mata. Secebis
senyuman diukir demi menutup kesedihan itu.
“Kenapa
Ummi menangis?” soalnya ingin tahu. Benarlah, kanak-kanak cepat merasai dan
menangkap perlakuan orang-orang tersayang dan rapat dengannya.
“Ummi
terbubuh cili ni banyak sangat. Pedas sangat, tu yang keluar air mata. Mana
boleh Ummi menangis di hari lahir Za’ara, manja Ummi ni.....” jawabnya menutup
persoalan Za’ara Aisha.
“Ummi
tunggu sini. Za’ara ambikkan Ummi air ye.” Za’ara Aisha berlalu. Zarith Anisah
menghampiri Alya lantas mengenggam tangan erat. Cuba menyalurkan sedikit
kekuatan kepada Alya. Sedikit sebanyak timbul rasa bersalah mengundang
kesedihan di hati Alya dengan persoalan yang tidak sepatutnya.
“Maafkan
Zarith, kak.” Ucapnya perlahan sambil mencium tangan Alya perlahan.
“Tak
apa, Zarith. Akak faham.” Kata Alya perlahan sambil menepuk bahunya perlahan.
“Bagi
akak, apa yang Zarith tanyakan itu tiada salahnya. Malah akak sedar, akak perlu
bersedia dari sekarang kerana akak dapat merasakan yang satu hari nanti, abang
Zariz akan kembali. Masa tu, akan akak lepaskan tanggungjawab tersebut kepada
dia setelah dia benar-benar bersedia menerima kenyataan sebenar.”
Zarith
Anisah hanya diam mendengarkan kata-kata Alya itu. Jauh disudut hatinya, terbit
rasa kagum yang teramat pada Alya sehingga dia sanggup mengenepikan segala
kepentingan dan keperluan diri demi Za’ara Aisha.
Alya sibuk di dapur sewaktu keluarga Encik Alimin sampai. Sibuk menyiapkan
hidangan buffet untuk kenduri tahlil yang akan bermula selepas solat Isyak
nanti. Mujurlah ada perkhidmatan katering. Jadi segalanya menjadi mudah. Kadang
– kadang dia rindukan suasana gotong royong yang suatu ketika dahulu tebal di
kalangan penduduk setempat. Rindu dengan suasana yang kecoh dengan pelbagai
ragam manusia. Tapi zaman sekarang, tiada lagi tenaga – tenaga muda bagi tujuan
itu. Yang ada hanyalah warga-warga emas yang rata-ratanya tidaklah berapa sihat
dan kuat kudratnya untuk menjayakan.
Dia
menjenguk sebentar di ruang depan. Khemah yang disewa bagi menampung kehadiran
jemputan nampak telah hampir separuh dipenuhkan. Hatinya mengucapkan syukur
memandangkan ramai jemputan yang datang untuk majlis tahlil malam ini.
Za’ara
Aisha nampak leka di atas ribaan Zairul Adli, adik Zariz. Alya sedar, Za’ara
Aisha amat rapat dengan Zairul Adli dan Haiqal. Mungkin sebab dia tidak pernah
merasai kasih sayang seorang ayah, maka kesediaan Zairul Adli dan Haiqal melayan
kerenah Za’ara Aisha itu buatkan dia menjadi amat manja dengan keduanya.
Zairul
Adli, akauntan muda yang mungkin menjadi pujaan para gadis diluar sana. Usianya
yang hanya beza 2 tahun lebih tua dari Alya. Memiliki wajah yang seiras dengan
Zariz Arman ditambah perwatakannya yang agak serius dan pendiam sering
membuatkan Alya sedikit segan dengannya. Namun, sikap Zairul Adli yang sering
mengambil berat tentang Za’ara Aisha sedikit sebanyak membuatkan dia amat
menghormati pemuda tersebut. Cuma kebelakangan ini, Zairul Adli sudah agak
mesra dengan dia sekeluarga.
Alunan
ayat-ayat suci berkumandang menandakan majlis tahlil telah pun bermula. Alya duduk
di sisi Puan Amnah menyertai majlis itu. Tak semena- mena rasa sebak menerjah di hatinya. Apa yang dirasakan
ketika ini, adalah perasaan rindu pada arwah kak Juita. Rindu yang teramat
sangat. Rindu seorang adik kepada kakaknya. Alya sedar, walau telah 5 tahun
berlalu, kasih dan sayang masih berbekas di hati. Arwah Juita bukan setakat
kakak malah teman terapat baginya. Walaupun, arwah Juita bukanlah dilahirkan
dari rahim ibu yang sama, tapi sejak kecil lagi dia telah mengenali arwah Juita
sebagai kakak sulung.
Menurut Puan
Amnah, perkahwinan mereka yang menjangkau tahun kelima masih belum dikurniakan
cahaya mata. Lalu mereka membuat keputusan untuk mengambil arwah Juita yang
berusia 3 bulan sebagai anak angkat mereka setelah hati mereka tertawan dengan
wajah polosnya. Menurut cerita, kedua – dua ibu bapanya telah meninggal dunia
dalam satu kemalangan ngeri. Hanya arwah Juita sahaja yang terselamat dalam
kemalangan itu. Tetapi sayangnya, arwah Juita tidak mempunyai waris lain
memandangkan kedua ibu bapanya merupakan anak yatim piatu.
Setelah
memelihara Juita selama 5 tahun, barulah ibu disahkan mengandung. Lahirlah dirinya
yang dinamakan sebagai Alya Yasmin. Sejak
kecil, arwah Juita telah menjadi kawan baik, kakak dan juga pelindung
terbaik buat dirinya. Malah, dia sendiri amat menyayangi kak long. Walaupun,
setelah ibu menceritakan perihal sebenar berkenaan Juita, dia tetap menyayangi dan
menghoramti kakaknya itu. Malah, mereka bagaikan
pasangan kembar. Jika Juita deman, dia juga akan tetap terasa.
“Kak
Ngah!” seru satu suara. Alya tersedar dari lamunan. Ditoleh sekilas ibunya di
sebelah yang masih memandangnya.
“Ibu,
angah rindu, bu. Rindu teramat dengan kak Ju....” bisiknya menahan tangis. Puan
Amnah pantas meraih Alya ke dalam pelukannya. Hatinya turut hiba demi
mendengarkan luahan itu dari Alya.
Puan
Amnah sedar dan dia sendiri tahu dan arif tentang akrabnya hubungan dua beradik
ini. Malah dia turut menanggung kerinduan yang teramat pada anak sulungnya itu
walaupun dia bukanlah ibu yang mengandungkan Juita.
“Kak
Ngah, ibu pun rindu juga. Kak Ngah kena kuat sayang. Kalau kak ngah rindukan
kak long, macammana pulak ibu, nak.” Pujuk Puan Amnah lembut. Alya membisu
melayan tangis.
“Dah la.
Orang pun dah habis tahlil. Tengok Za’ara tu. Dah terlentok kat riba Zairul.
Pergi ambil budak tu. Tidurkan dalam bilik. Penat sangat agaknya. Dari siang
tadi sibuk.” Kata Puan Amnah.
Alya turut memandang ke arah Zairul Adli. Memang benar,
Za’ara Aisha kelihatan nyenyak di pangkuan Zairul Adli. Dia menyeka air mata
lantas bangun menghampiri Zairul Adli. Zairul Adli mendongak setelah menyedari kehadiran
Alya di sisinya.
“Maaf
Zairul. Za’ara tertidur atas pangkuan awak. Marilah saya angkat dia masuk ke
bilik.” Katanya perlahan. Zairul Adli masih memerhati tanpa sebarang reaksi.
Alya merasa pelik dan tidak selesa dengan pandangan Zairul Adli itu.
“Zairul....”
panggil aku lagi. Zairul Adli tersedar.
Semerta bibirnya mengukir senyum.
“Tak
apalah. Letih sangat agaknya dia hari ini. Biar Rul angkatkan Za’ara ke dalam.
Larat ke awak?” Alya jadi serba salah. Sebenarnya, dia rasa tidak selesa
membenarkan Zairul Adli memasuki bilik tidur kerana Za’ara masih berkongsi
bilik dengannya.
“Tak apa
la. Bukannya saya tak biasa.” Tolak Alya perlahan. Za’ara Aisha diangkat perlahan.
Zairul Adli hanya diam memerhatikan Alya
yang mendukung Za’ara Aisha berlalu ke bilik tidur.
Alya
meletakkan Za’ara Aisha perlahan. Setelah memastikan dia selesa dengan keadaan
itu, dia keluar bagi melayan tetamu yang sedang menjamu selera. Encik Alimin
dan Puan Zana sedang menikmati hidangan yang disediakan. Secebis senyuman dilemparkan
kepada mereka.
“Zarith,
Zairul, jamah lah hidangan tak seberapa ni. Jangan segan-segan,” katanya sambil
menunjukkan hidangan yang tersedia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan