PROLOG
Assalamualaikum,
Buat adikku tersayang, Alya Yasmin,
Mungkin di waktu ini, kita telah
terpisah jauh. Terlalu jauh...... Dan perpisahan ini adalah untuk selamanya.
Terima kasih juga ingin along ucapkan atas kesudian Alya meluangkan sedikit
masa untuk menatap luahan hati along ini. Terima kasih juga kerana sudi
menyayangi dan menerima segala kekurangan diri ini. Terima kasih juga atas
kasih sayang, pengorbanan dan kepercayaan yang di berikan.
Maafkan Along dik, kiranya permintaan
Along ini buatkan adik berasa berat hati. Hanya padamu, dik, Along pertaruhkan
segala kepercayaan yang tidak berbelah bagi. Along minta padamu dik, untuk
menjaga permata hati Along yang satu ini. Along namakan dia Za’ara Aisha.
Ya....... Za’ara Aisha binti Zariz Arman. Buah cinta along bersama Abang Zariz.
Sehingga saat ini, Along tidak mengerti
mengapa Abang Zariz tinggalkan kami tanpa pesan. Malah sehingga ke hari ini,
rasanya dia tidak mengetahui lahirnya Za’ara ke dunia ini. Along tidak sempat
memberitahu dia tentang kehamilan Along itu. Hanya sekeping nota ringkas, dia
memohon maaf kerana terpaksa meninggalkan Along. Luluh rasanya hati ini, dik. Sepatutnya
di waktu itu, kami tengah meraikan berita gembira. Mungkin jugak dik, Along
bukanlah insan bertuah untuk menikmati kemanisan itu.
Alya, Along mohon padamu untuk menjaga
dan membesarkan Za’ara Aisha sekiranya Abang Zariz tetap tidak kembali. Sayangilah
Za’ara sebagaimana Alya menyayangi Along. Curahkan sepenuh kasih sayang dan
didiklah dia menjadi anak yang soleh. Padamu dik Along mengharapkan.
Satu lagi permintaan Along. Sekiranya
Abang Zariz kembali, temukanlah dia dengan Za’ara Aisha. Sampaikan salam
kemaafan Along buat dia. Serahkan kepadanya kotak kuning yang berada dalam
almari Along. Ada sesuatu yang telah lama Along ingin serahkan kepadanya sejak
dulu lagi. Tunaikan permintaan Along ini ye, dik....
Sampaikan salam kemaafan buat ayah dan
ibu yang sudi menerima diri ini untuk menumpang secebis rasa kasih dan sayang.
Terima kasih atas segala pengorbanan yang tercurah selama ini. Buat adik-adik,
terima kasih kerana sudi menerima diri ini menjadi sebahagian keluarga bahagia
ini. Sesungguhnya ini kebahagian yang tak ternilai untuk seorang anak yatim
piatu bernama JUITA. Halalkan makan, minum. Maafkan segala kesalahan sengaja
ataupun tidak. Terkasar bahasa, terguris hati dan tersinggung rasa.
Maafkan Along. Along pergi dahulu.
Juita
Helaian kertas itu ditatap kembali. Terdapat amanat yang
telah ditinggalkan untuk dilaksanakan. Amanat untuk menjaga si kecil yang kini
berusia sebulan. Alya merenung pilu pada seraut wajah bersih milik Za’ara Aisha
buat sekian kalinya. Sayu hatinya mengenangkan, dalam usia semuda itu, Za’ara
Aisha kehilangan kasih sayang seorang ibu. Ayah???? Entahlah..... Sehingga kini
tidak diketahui, ke mana menghilangnya Zariz Arman, suami kak Juita itu.
Terlalu banyak persoalan berlegar di fikiran. Bukan hanya dia dan keluarganya,
tetapi juga keluarga mentua kak Juita. Mereka juga tertanya-tanya apa
sebenarnya yang terjadi dalam perkahwinan mereka.
“Tidak! Ibu tak setuju. Kenapa tak kita saja yang jaga
Za’ara? Za’ara cucu kita bang. Kenapa arwah Juita tak serahkan Za’ara kat kita?
Kenapa mesti dengan Alya?” bentak Puan Zana tidak puas hati. Dalam waktu
kesedihan ini, sementelah kehilangan Zariz Arman tanpa pesan dan khabar berita
disamping pemergian Juita, isteri anaknya itu, semuanya membuatkan dunianya
seakan bercelaru. Ditambah lagi dengan permintaan dari arwah menantunya
menyerahkan hak penjagaan Za’ara Aisha, satu-satunya zuriat arwah Juita dan Zariz
Arman kepada Alya, adik Juita menantunya itu.
Encik Alimin hanya diam memandang perlakuan isterinya
itu. Dia tahu kekecewaan di hati isterinya itu atas keputusan menantunya
menyerahkan satu-satunya cucu mereka kepada Alya sedangkan sebenarnya mereka
lebih berhak. Alya sedar perkara itu. Tapi, bolehkah dia mengingkari apa yang
telah diamanahkan?
Alya hanya memerhati. Tapi dia tahu, dari cara Puan Zana
dapat disimpulkan betapa kasih dan sayangnya wanita itu kepada Za’ara Aisha.
Tapi, apa lagi yang boleh dia lakukan. Juita telah mewasiatkan sebegitu kepadanya.
Malah dia tak terdaya menolaknya setelah kata janji dilafazkan.
“Ibu.... tak guna lagi kita nak gaduhkan perkara ini. Ini
bukan perkara mudah. Wasiat orang yang telah tiada, takkan kita nak engkar. Tak
terjawab kita nanti, jika dipersoalkan di sana kelak”, terdengar sayup suara
Zarith Anisah, adik Zariz Arman mencelah perbualan.
Encik Alimin mengangguk setuju kata kata Zarith Anisah.
Puan Zana terdiam. Hanya sedih mendengar kata-kata Zarith Anisah yang nyata
tidak menyebelahinya. Alya membetulkan
duduk lalu mendekati tubuh Puan Zana perlahan. Disentuh bahu wanita itu dengan
perlahan.
“Mak Cik, Alya tahu mak cik rasa Alya bagaikan telah
merampas hak mak cik sebagai seorang nenek yang baik, pengasih dan penyayang
kepada Za’ara. Alya pun tak tahu kenapa Along pilih Alya untuk menjaga Za’ara.
Tapi mak cik, Alya hanya ingin tunaikan amanat yang Along berikan ini. Dengan
restu makcik sekeluarga. Alya janji, Alya takkan biarkan Za’ara tidak mengenali
waris terdekatnya. Andai telah ditakdirkan abang Zariz tidak kembali, dia masih
memerlukan pak ngah dan datuknya sebagai wali bila sampai masanya nanti. Alya
tak ada hak lain selain hak untuk menunaikan amanat yang diberikan.” Terang
Alya perlahan memohon pengertian. Ditenung wajah Puan Zana dengan penuh
harapan.
Wanita
itu memandangnya lama. Otaknya seakan ligat mentafsir segala apa yang
diperkatakan. Namun, akhirnya perlahan saja, Puan Zana menganggukkan kepalanya
mempersetujui. Alya terharu lantas tubuh Puan Zana diraih ke dalam pelukan.
Erat. Air mata semakin lebat membasahi pipi. Tak percaya dengan apa yang terjadi
ketika ini.
“Mak
Cik, restuilah Alya. Izinkan Alya tunaikan amanat Along yang satu ini. Benarkan
Alya berkongsi kasih dengan Makcik sekeluarga demi Za’ara Aisha.” Satu harapan terluah
juga di kala Puan Zana mengucup pipi si kecil yang berusia satu bulan itu.
“Mak
cik izinkan Alya untuk menjaga dan
mendidik Za’ara” ucap Puan Zana lirih.
“Dah la tu Zana, abang yakin Alya mampu menjaga Za’ara.
Alya, pakcik harap Alya akan mengasuh, menyayangi dan mendidik Za’ara dengan
sebaiknya. Tentang perbelanjaan Za’ara, pak cik akan tanggung segalanya. Esok
Alya berikan no akaun bank Alya kepada setiausaha pak cik. Pakcik akan masukkan
setiap bulan perbelanjaan bulanan Za’ara. Kalau boleh, pakcik minta Alya bawa
Za’ara ke rumah pakcik setiap dua minggu sekali. Bolehkan Alya tunaikan
permintaan pak cik ini?” Pinta Encik Alimin.
“INSYA-ALLAH, pakcik. Alya cuba. Terima kasih pakcik,
makcik, Zarith”. Kata Alya sambil
mengukir senyuman.
Terasa lega hatinya kini untuk menunaikan amanat arwah kak
Juita. Dia berjanji pada untuk mengasuh dan mendidik Za’ara Aisha dengan
sebaiknya sebagaimana harapan yang diletakkan oleh arwah kak Juita. Dan pastinya
akan menyerahkan Za’ara Aisha semula pada Zariz Arman sekiranya lelaki itu
kembali pada satu masa nanti. Masa itu, dia akan bertanyakan kenapa Zariz Arman meninggalkan
Juita bagi meleraikan seribu satu persoalan yang masih menjadi tanda tanya.
“Pakcik, makcik, Za’ara akan mengenali kak long tetap
sebagai ibunya, abang Zariz ayahnya dan Alya umminya. Pak cik, atuknya, mak
cik, mama tok, Zairul Pak Ngahnya dan Zarith, masih mak sunya.” Kata Alya
sambil merenung insan-insan dihadapannya.
“Za’ara, Ummi pinjam semangat Za’ara untuk kehidupan kita
dimasa hadapan. Za’ara adalah cerminan Ummi, Ummi pulak cerminan Za’ara. Antara
kita saling bergantungan antara satu sama lain. Andai satu hari nanti, ayah
Za’ara kembali, Ummi terpaksa pulangkan Za’ara pada ayahmu, nak sebagaimana
yang telah ibu Za’ara amanahkan kepada Ummi untuk ditunaikan.”
“Alya, mak cik dan
pakcik masih ada disini” ucap Puan Zana. Alya memandang wanita berwajah keibuan
itu. Senyuman diukirkan tanda ucapan terima kasih yang tak terhingga. Sekali
lagi pipi sekecil Za’ara Aisha dihujani ciuman bertalu.
Alya berjanji dan nekad untuk menunaikan amanat yang telah
ditinggalkan ini. Akan membesarkan Za’ara dengan penuh kasih sayang. Akan
sedaya upaya membahagiakan Za’ara. Dan dia yakin dengan adanya sokongan dari
keluarga mertua kak Juita dan lebih-lebih lagi dari keluarganya sendiri. Dia
perlu menguatkan hati dan semangat demi amanah yang dipikulnya kini. Dia sedar,
masa depannya kini telah berubah haluan dari apa yang telah dirancangkan selama
ini. Namun dia rela demi kerana amanah yang ditinggalkan. Kerana Za’ara Aisha. Biarpun susah, biapun payah, tapi inilah keutamaan dirinya sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan